Resensi Buku | Pada Pahitnya Secawan Kopi oleh Aidil Ghazali


Buku Pada Pahitnya Secawan Kopi

 

Sinopsis

“Intan sedar diri sikit boleh? Fikir panjang. Kalau tak kahwin, siapa nak jaga Intan? Intan kan ….”
“Saya ni kenapa, mak?”jerit Intan, tangannya menggigil.
***

Semenjak Intan mengetahui keadaan dirinya yang tidak sempurna seperti wanita lain, dia sudah mematikan harapan untuk berkeluarga. Lebih-lebih lagi apabila hubungannya pernah terputus tengah jalan kerana perkara itu.

Ketika Intan sudah pasrah, ibunya pula beria-ia mengatur agar Intan berkahwin dengan calon pilihan. Meskipun berkali-kali Intan menolak, ibunya tetap berkeras dengan keputusan tersebut.

“Takkan mak nak aniaya awak? Salah ke kalau seorang ibu mahukan anaknya bahagia?

”Hati Intan luluh berkecai apabila ibunya mula bertindak melampaui batas. Bagi ibunya, semua demi kebaikan Intan. Namun bagi Intan, cukuplah sekali hatinya disakiti.

Andai Intan membuka lagi hatinya untuk meraih kebahagiaan yang diimpikan, mampukah harapan ini mekar, atau dirinya akan kecewa buat kesekian kali?

Resensi:

Kisah hidup Intan yang tidak berupaya melahirkan dan kerjayanya sebagai seorang barista bukan hanya memberi kesan kepada dunia wanita, tapi juga kepada si penggemar kopi. Onak duri yang dijalani terasa begitu dekat dengan hati dan perasaan kerana ada sahaja stigma masyarakat buat mana-mana wanita. Bujang salah, berkahwin pun salah, ada anak salah, takda anak lagilah salah. Haish.

Fokus utama dalam buku ini adalah kehidupan Intan sebagai seorang wanita yang menghidap MRKH, disulami dengan stigma masyarakat both kepada penyakit dan kerjaya Intan sebagai seoang pemilik kafe. Saya bukan peminat coffee (sila jangan kecam) tapi saya takjub dengan info dan pendedahan yang penulis sampaikan tentang coffee di dalam buku ini. Job well done Aidil!

Namun begitu bagi saya buku ini terdapat sedikit kekurangan yang saya rasa boleh ditambah baik contohnya:

  1. Soal jodoh di dalam buku ini terasa meleret dengan jalan cerita yang singkat dan sedikit tergantung. Development untuk keluar dari overthinking Intan belum terjawab sepenuhnya dan ‘turning point’ yang dihadapi tidak cukup (bagi saya) untuk membahas pilihan hidup Intan.
  2. Pada pendapat peribadi, saya rasa buku ini kekurangan ‘role model’ yang sesuai, iaitu wanita yang bahagia biarpun tanpa suami. Semua bicara Intan tentang ‘peduli apa dengan umur meningkat dan belum berkahwin’ sedikit sebanyak terasa macam omong kosong yang balik-balik diulang tanpa solusi yang selayaknya.
  3. Kawan baik dan support sistem Intan juga tidak berapa memainkan peranan, sama sahaja dengan mak Intan, asyik nak kenenkan orang, kita faham niatnya baik, tapi agak-agaklah pun. Mungkin juga saya lebih menyukai sisi feminin yang wanita juga boleh kuat dan dapat berdiri dengan sendirinya asalkan meletakkan penuh pengharapan kepada Allah. 

Satu-satunya adegan yang buat saya rasa puas sedikit dikala Intan berdepan dengan Farid dan juga Puan Maryam. Biarpun nampak tergesa tapi itulah sikap manusia, panas baran dan lebih baik berundur cepat sebelum perkara itu berlarutan. Tindakan Intan yang ‘keluar’ dari masalah ketika bertegang urat adalah sesuatu yang baik dan mengelakkan benda yang lebih buruk berlaku. 

Pada akhir cerita ini, penulis memberi ruang kepada pembaca untuk memilih Intan yang ‘bagaimana kita mahukan’, ternyata saya lebih suka Intan yang berani untuk memeluk kebahagiaannya sendiri tanpa perlu banyak berfikir soal manusia lain yang suka mengambil kesempatan. Tidak berkahwin dahulu pun boleh sampailah berjumpa dengan lelaki yang bukan ingin menambat hati Intan untuk keperluan peribadi. Wanita terutamanya wajib lebih bijak memilih dengan siapa dia mahu hidup, standard tinggi tidak apa, asalkan tidak meletakkan nilai diri kita di tahap yang rendah.

Pengakhiran cerita ini tergantung sebab keputusan Intan tidak ada root yang benar-benar memasakkan peribadinya. Namun begitu, pengajaran disebalik cerita ini juga tidak boleh dipandang enteng, biarpun masih rapuh, Intan berjaya menjadi versi dia yang lebih baik bila dibandingkan dengan Intan yang masih belajar untuk mencari jalan keluar, ibunya juga belajar sesuatu. Satu naskhah yang boleh tahan dari segi penulisan yang disulami ‘doodle’.

Satu penghargaan juga buat penulis kerana mendedahkan isu penyakit puan di dalam buku ini yang menyedarkan kita meskipun kita berjuang dalam perjuangan sendiri kita juga memerlukan tempat, pakar dan komuniti sebagai tempat sokongan.

Akhir kata, syabas buat Aidil Ghazali untuk karya ini. Tahniah juga buat Iman Publication kerana kualiti buku baru ini terasa lebih selesa di pandang mata dan juga apabila naskhah dipegang.

Penting! Resensi ini hanyalah luahan peribadi dan tidak bermaksud buku ini mungkin tidak akan kena dengan selera anda. Dapatkan buku Pada Pahitnya Secawan Kopi dan nilai dengan hati nurani anda sendiri. 

#imanpublication #pahitnyasecawankopi #padapahitnyasecawankopi